Hospital Covid Malaysia

PETALING JAYA: Pandemik Covid-19 mendedahkan banyak masalah yang sebenarnya wujud dalam sistem penjagaan kesihatan negara yang selama ini terlepas daripada pandangan.

FMT meminta Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) memberikan perspektif doktor berhubung isu yang memerlukan perhatian, bukan sahaa bagi pemulihan negara ini daripada krisis kesihatan, malah ke arah ekosistem kesihatan yang lebih kukuh.

Kesukaran mendapat akses penjagaan kesihatan

Presiden MMA Dr Koh Har Chai berkata, satu perkara yang jelas adalah perbezaan jurang antara penjagaan kesihatan dalam sektor am berbanding swasta.

“Kita mempunyai sistem penjagaan kesihatan awam yang amat mampu kerana ia menerima subsidi besar daripada kerajaan, jadi tidak adil untuk dibandingkan secara langsung dengan penjagaan kesihatan swasta,” katanya.

Menurutnya, untuk merapatkan jurang itu kerajaan mesti melihat kepada pembaharuan seperti skim pembiayaan kesihatan kebangsaan yang pernah dicadangkan sebelum ini tetapi tidak pernah dilaksanakan.

Pembahagian tidak sama rata juga menjadi isu yang perlu dipandang serius dengan beberapa kawasan tiada perkhidmatan kesihatan penuh serta kos yang wajar, malah ada juga lokasi yang langsung tidak menawarkan khidmat berkenaan. Ini memaksa pesakit membuat perjalanan jauh untuk mendapatkan rawatan diperlukan.

Tenaga kerja dan kesesakan

Koh berkata, isu lain yang perlu dilihat adalah kekurangan tenaga kerja secara amnya, terutama dalam sektor am. Perkara ini menjadi masalah sebelum pandemik melanda namun semakin jelas selepas kewujudan virus itu.

“Jelas kebanyakan penduduk memilih penjagaan kesihatan awam kerana kemampuan malah ada kalanya percuma. Jadi kita lihat lebih ramai pesakit mendapatkan khidmat klinik serta hospital am.”

Seorang pesakit yang memilih melahirkan anak kedua di hospital swasta memberitahu FMT bilangan pesakit di kemudahan kesihatan awam antara perkara utama beliau membuat pilihan itu.

“Bukannya perkhidmatan ditawarkan di hospital kerajaan buruk, namun disebabkan pesakit yang begitu ramai, sudah pasti mereka tidak mampu memberikan perhatian sebaiknya seperti di hospital swasta,” kata Aqilah Hairudin.

“Tempoh menunggu lebih singkat dengan akses lebih mudah untuk dirawat pakar, selain persekitarannya lebih selesa dan privasi.”

Katanya, walaupun penjagaan kesihatan am amat baik, “kita boleh mengharapkan perkhidmatan lebih berkualiti di kemudahan swasta seiring harga dibayar.”

Nisbah pesakit dan kakitangan turut memberi kesan terhadap doktor “junior”, kata Koh kerana golongan ini kerap bekerja lebih masa disebabkan tenaga kerja tidak mencukupi.

Bagaimanapun katanya, MMA yakin Kementerian Kesihatan (KKM) akan menangani isu ini, dengan menterinya, Khairy Jamaluddin, serta Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah masing-masing menyedari betapa perlunya meningkatkan bilangan pekerja dalam bidang perubatan, selain memastikan pengagihan doktor yang saksama bagi memperbaiki akses penjagaan kesihatan di luar bandar.

Bilangan pakar tidak mencukupi

Kekurangan pakar adalah satu lagi masalah yang mungkin mengakibatkan tempoh menunggu lebih lama disebabkan bilangan pesakit jauh menjangkaui bilangan doktor yang mampu merawat mereka.

“Ramai pesakit terpaksa menunggu berbulan-bulan untuk pembedahan bukan kecemasan. Banyak positifnya jika tempoh menunggu dapat dikurangkan. Satu-satunya cara untuk mencapai perkara ini adalah dengan menambah bilangan doktor pakar,” kata Koh.

“Membuka peluang untuk latihan serta peningkatan kerjaya sewajarnya patut ditawarkan kepada doktor muda,” katanya dengan menambah beliau yakin Khairy akan mendapat penyelesaian untuk masalah itu.

Langkah seterusnya

Pertama sekali katanya, negara ini patut membelanjakan lebih lagi untuk penjagaan kesihatan. Buat masa ini perbelanjaan penjagaan kesihatan adalah sekitar 3% Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sedangkan 5% sebenarnya diperlukan untuk memastikan sistem mampu menyediakan akses menyeluruh untuk semua.

Bagaimanapun Koh berkata, dalam membangunakn prasarana dan modal insan, kerajaan mesti juga bijak memastikan pembaziran dikurangkan dan wang tidak dibelanjakan ke arah perkara yang tidak diperlukan. Ini katanya memerlukan penyertaan swasta secara optimum.

“Kolaborasi awam-swasta lebih banyak diperlukan. Sistem penjagaan kesihatan mesti brperanan sebagai gabungan antara sektor penjagaan kesihatan awam serta swasta.”

 

Source : https://www.msn.com/en-my/news/berita/doktor-dedah-kelemahan-sistem-penjagaan-kesihatan/ar-AAORpcr?li=AAAHkOw 

Category
Curated news from the internet and individual contributors and groups.