Bunuh budak: Tengkorak, organ dalam perut pecah ditendang, ditekan

MELAKA – Seorang ibu tunggal serta teman lelakinya ditahan dan direman selama tujuh hari bermula hari ini, selepas dipercayai membunuh seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kedua-dua suspek masing-masing berusia 24 dan 25 tahun ditahan di Unit Forensik Hospital Melaka pada pukul 8 malam tadi sejurus polis menerima laporan bedah siasat kematian mangsa.

Jelasnya, sebelum kejadian polis telah dimaklumkan oleh pegawai perubatan hospital terbabit mengatakan telah menerima seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun di Zon Merah yang dalam keadaan tidak sedarkan diri pada pukul 6.50 pagi.

“Mangsa telah diberikan bantuan pernafasan (CPR) selama satu jam 10 minit, namun tidak menunjukkan sebarang tanda positif sebelum disahkan meninggal dunia pada pukul 9.15 pagi.

“Pada pukul 10.30 pagi mangsa telah dibawa ke Unit Perubatan Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat dan hasil laporan bagaimanapun menunjukkan mangsa mempunyai kesan kecederaan di bahagian kepala dan badan,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan, di sini hari ini.

Kosmo! pagi tadi tadi melaporkan, hasil soal siasat mendapati ibu mangsa mendakwa dia telah menghantar anaknya itu ke rumah teman lelakinya di kawasan Cheng pada pukul 5.30 pagi untuk berubat kerana kanak-kanak tersebut dikatakan mengalami muntah-muntah.

Bagaimanapun pada pukul 6.20 pagi dia dihubungi teman lelakinya memberitahu mangsa telah terjatuh serta tidak sedarkan diri dan dia telah datang semula ke rumah terbabit untuk mengambil dan membawa mangsa ke Hospital Melaka sambil ditemani suspek lelaki.

Difahamkan, mangsa mengalami kecederaan kepala dan abdomen akibat trauma tumpul iaitu tengkorak dan organ dalam perutnya pecah dipercayai akibat ditendang dan perut ditekan secara agresif oleh suspek lelaki.

Dikatakan, suspek lelaki bertindak sedemikian selepas berang gara-gara mangsa muntah di atas sofa di rumahnya.

Christopher berkata, kedua-dua suspek kini disiasat mengikut Seksyen 31(1)(A) Akta Kanak-kanak dan Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

source: https://www.kosmo.com.my/2023/07/07/bunuh-budak-tengkorak-organ-dalam-perut-pecah-ditendang-ditekan/

Category
Pemburu Kebenaran