Geng Thomas aktif jual kereta curi tumpas

KUALA LUMPUR – Satu sindiket yang bergiat aktif mencuri kenderaan menggunakan nombor pendaftaran palsu sebelum menjual kenderaan pada harga murah berjaya ditumpaskan.

Enam suspek lelaki tempatan yang disyaki mendalangi sindiket berkenaan menyasarkan kenderaan yang telah dilupuskan pendaftaran dari Singapura itu diberkas di tiga lokasi berasingan sekitar Lembah Klang.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohamad Zahari berkata, pada 23 April lalu, pihaknya telah menerima aduan dari scorang lelaki warga tempatan berkenaan kehilangan sebuah kereta jenis Honda Civic di tepi jalan hadapan Arte Mont Kiara.

Bertindak atas maklumat, pada 28 Jun lalu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul telah membuat serbuan berdasarkan hasil risikan yang dijalankan.

“Hasilnya dalam tangkapan itu, kesemua enam suspek yang ditahan adalah berusia antara 30 hingga 56 tahun bersama dua lagi suspek yang masih bebas disyaki melarikan dua buah kenderaan jenis Toyota Vellfire, sebuah kereta BMW dan sebuah kereta Honda sejak tahun lalu di sekitar Kuala Lumpur dan Ipoh, Perak.

“Siasatan kami mendapati, modus operandi sindiket ini adalah melarikan kenderaan sebelum menukar nombor casis pada enjin dan menjual di satu aplikasi laman sesawang jualan kereta yang terkemuka di negara ini.

“Mereka (sindiket) ini yang turut mempunyai hubungan dengan orang dalam syarikat insurans akan melarikan kenderaan dan menukar nombor casis dan pendaftaran kereta berkenaan dengan nombor casis kereta jenis sama yang telah tidak lagi digunakan akibat kemalangan teruk,” katanya dalam sidang media hari ini.

Tambah Ahmad Sukarno, kesemua kereta curi yang diubahsuai nombor casis itu kemudian dijual oleh sindiket berkenaan dengan harga separuh daripada nilai semasa pasaran di laman sesawang jualan.

Katanya, dua Toyota Vellfire dan sebuah Honda Civic yang dirampas itu adalah kereta yang dilarikan di sekitar Kuala Lumpur dan Ipoh manakala sebuah lagi kereta jenis BMW sedan adalah kereta yang dalam proses pelupusan dibawa masuk dari negara jiran Singapura.

“Susulan tangkapan dan rampasan dalam kes Geng Thomas ini, polis telah berjaya menyelesaikan empat kes curi kenderaan.

“Pada masa ini polis telah memperhebatkan usaha untuk mengesan dua individu penting yang merupakan dalang geng berkenaan iaitu Thomas, 29, dan John Samuel, 35, yang masih bebas di luar,” katanya.

Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang setahun hingga 17 tahun dan denda.

Salah seorang daripada enam suspek yang ditahan di ibu negara telah diserahkan kepada Polis Daerah Ipoh di Perak untuk membantu siasatan lanjut di sana manakala lima lagi telah dibebaskan dengan jaminan polis dan dijadikan saksi pendakwaan kes ini.

source: https://malaysiagazette.com/2023/07/07/geng-thomas-aktif-jual-kereta-curi-tumpas/

Category
Pemburu Kebenaran