Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), Tan Sri Zainal Rahim Seman

PUTRAJAYA: Ponteng kerja atau tidak hadir bertugas hingga berhari-hari menjadi kesalahan paling 'popular' dilakukan penjawat awam.

Mendedahkan perkara itu, Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), Tan Sri Zainal Rahim Seman, berkata sikap culas sedemikian tidak sepatutnya berlaku dalam perkhidmatan awam.

"Paling popular, ponteng kerja atau tidak hadir bertugas... sehari, dua hari, tujuh hari.

"Ada yang berpuluh hari, ada ikut bulanan, pergi cuti tahunan tanpa diketahui pun ada.

"Perkara seperti ini tidak patut berlaku dalam perkhidmatan awam, kita dibekalkan dengan tata cara atau tata kelola untuk hadir bertugas,

"Patuhilah peraturan yang sudah ditetapkan demi kebaikan anggota kerajaan dan kemajuan perkhidmatan awam pada masa depan," katanya kepada pemberita selepas Majlis SPA bersama media di sini, hari ini.

Beliau berkata, mereka yang melanggar peraturan ditetapkan berdepan tindakan tata tertib yang akan disusuli sebaik dibawa oleh Ketua Jabatan atau Lembaga Tata Tertib berkenaan di kementerian dan jabatan.

Zainal Rahim berkata, hukuman lazimnya bermula dengan amaran manakala peringkat terakhir ialah diturunkan pangkat dan pemecatan.

"Kalau sabitan kes jenayah atau dadah yang menyebabkan imej perkhidmatan awam terjejas dan kelemahan diri masing-masing hingga ratusan hari tidak bertugas, itu kita buang kerja," katanya.

Sebelum seseorang individu diambil berkhidmat dalam kerajaan, katanya, pemeriksaan keselamatan bersama Kementerian Dalam Negeri, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan juga Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilaksanakan terlebih dahulu.

Katanya, ia bagi memastikan individu yang dipilih bersih dalam segala aspek dan pelbagai cara dilakukan bagi memastikan mereka bersesuaian, cekap, berpengetahuan dan memiliki jati diri untuk berkhidmat dengan kerajaan.

Berdasarkan statistik SPA pada 2020, seramai 117 orang dikenakan tindakan tatatertib, tetapi berkurangan kepada 83 (2021) dan 51 (2022).

Bagi urusan statistik tahan kerja, sebanyak 97 kes dilaporkan bagi tempoh tiga tahun iaitu pada 2020 hingga 2022.

Sementara itu, sembilan kes digantung kerja pada 2020, manakala 10 kes untuk 2021 dan 14 kes bagi tahun berikutnya.

Bagi rayuan tatatertib, sebanyak 284 kes direkodkan pada 2020 selain 314 pada 2021 serta 498 pada 2022.

Zainal Rahim menegaskan, tidak berlaku diskriminasi dalam pengambilan anggota perkhidmatan, begitu juga penyertaan Orang Asli dan golongan orang kurang upaya (OKU).

"Dasar menetapkan sekurang-kurangnya satu peratus daripada kakitangan diambil dalam perkhidmatan adalah kalangan golongan OKU

"Cuma ada masanya kita perlu akur dengan jabatan dan kementerian yang menetapkan individu yang diambil memerlukan fizikal sempurna terutama dalam agensi penguatkuasaan seperti bomba dan kastam, kecuali bagi tugas di pejabat yang mana boleh diambil dalam kalangan OKU," katanya.

Katanya, proses pengambilan mereka adalah sebahagian daripada pematuhan pekeliling kerajaan.

"Proses pengambilan seperti biasa, perlu isi borang, menjalani peperiksaan dan sebagainya, cuma masa temu duga kita akan lihat masalah dihadapi OKU itu sendiri, yang kita boleh beri tafsiran sama ada dia layak atau tidak dipilih kerana kita juga tidak mahu menyusahkan calon berkenaan.

"SPA masih cuba mencapai tahap itu kerana ada suruhanjaya lain turut berperanan dalam lantikan seperti Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran, Suruhanjaya Polis dan suruhanjaya peringkat negeri serta pihak berkuasa tempatan," katanya.

 

source: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/05/1104551/ada-penjawat-awam-ponteng-kerja-sampai-tujuh-hari

Category
Pemburu Kebenaran