Rumah mampu milik pertama di Kwasa Damansara

PERMODALAN Negeri Selangor Berhad (PNSB) dengan kerjasama Kwasa Land Sdn Bhd (Kwasa Land) melancarkan pembangunan rumah mampu milik pertama di Kwasa Damansara pada Jumaat.

Rumah Idaman Kwasa Damansara berkonsep moden itu ditawarkan dengan harga RM250,000 berkeluasan 1,000 kaki persegi (92.9 meter persegi) terdiri tiga bilik tidur dan dua bilik air.

Pengerusi Kwasa Land, Tan Sri Mohammed Azlan Hashim berkata, fasa pertama projek itu akan dibangunkan di Plot R4-1 dan R4-2 merangkumi lebih 4,600 unit rumah mampu milik di atas tanah berkeluasan enam hektar yang disasarkan siap menjelang 2026.

Menurutnya, projek tersebut merupakan satu daripada pelbagai projek yang bakal dilaksanakan Kwasa Land bersama beberapa rakan pemaju di dalam pembangunan perbandaran bercampur seluas 914 hektar.

“Sejak awal fasa pembangunan bandar Kwasa Damansara ini, kami membuat keputusan wajar untuk menangani isu keperluan perumahan kerana kesejahteraan rakyat menjadi keutamaan kami."

“Ia dibuktikan dengan matlamat kami memperuntukkan 40 peratus daripada jumlah keseluruhan rumah di perbandaran ini untuk pembinaan rumah mampu milik."

“Ini bermakna lebih 10,000 daripada keseluruhan 25,000 rumah kediaman merupakan rumah mampu milik,” katanya pada majlis pecah tanah Rumah Idaman Kwasa Damansara pada Jumaat.

Perasmian majlis disempurnakan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Haris Kasim serta Ketua Pegawai Eksekutif PNSB, Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim.

Mohammed Azlan berkata, Rumah Idaman Kwasa Damansara akan dilengkapi dengan kabinet dapur, almari, set TV dan kabinet, pendingin hawa di semua bilik tidur, alat pemanas air dan peti sejuk.

Ujarnya, setiap unit juga diberi dua lot tempat letak kereta.

“Kami berharap dapat memenuhi aspirasi rakyat, sejajar dengan usaha kerajaan negeri menyediakan perumahan bagi kumpulan berpendapatan B40 dan M40 terutama pembeli rumah kali pertama,” katanya.

Sementara itu, Amirudin berkata, Rumah Idaman Kwasa Damansara merupakan projek Rumah Idaman pertama yang dilancarkan bagi tahun 2023.

Menurut beliau, penyediaan rumah mampu milik merupakan langkah penting untuk menjaga kestabilan ekonomi dan sosial jangka masa panjang di Selangor.

“Sebanyak 24,000 unit sedang mendapatkan kebenaran merancang, 6,500 masih dalam pembangunan dan 2,400 unit telah disiapkan terutama projek di Kajang dan Bangi.

“Kerajaan negeri menyasarkan jumlah rumah siap akan bertambah menjelang tahun 2025,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan negeri di fasa menyediakan bantuan deposit kepada pembeli rumah kali pertama susulan hampir 60 peratus daripada mereka terpaksa menolak tawaran pembelian Rumah Selangorku akibat masalah penyediaan deposit.

source: https://www.sinarharian.com.my/article/246079/bisnes/rumah-mampu-milik-pertama-di-kwasa-damansara

Category
Pemburu Kebenaran