Kontroversi sentimen agama dimainkan menjelang PRN

SEKALI lagi kontroversi sentimen agama mula dimainkan menjelang Pilihan Raya Negeri apabila bekas Timbalan Ketua Dewan Ulamak Pas Kedah, Syeikh Zainul Asri Mohd didakwa telah terkhilaf dalam ucapan menyebut berkenaan ‘musuh Allah’.

Dalam ucapannya, Syeikh Zainul Asri menyatakan semoga Allah mempertahankan Kedah daripada jatuh ke tangan musuh Allah.

Bagaimanapun, beliau telah membuat permohonan maaf berhubung ucapannya semasa Himpunan Kedah Berselawat, Sabtu lalu.

Katanya, meskipun ucapan tersebut tidak ditujukan kepada mana-mana pihak, namun ia telah disalah tafsir.

Susulan itu, ramai pemimpin politik menyuarakan pandangan mereka berhubung isu berkenaan selain menganggap ia dilihat boleh menyemai perasaan benci dan ekstremisme kepada rakyat.

Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu menyatakan mana-mana parti politik diingatkan agar mengelak daripada terlibat dalam ideologi ekstrem ketika meraih sokongan pengundi menjelang PRN di enam negeri.

Mohamad mengingatkan masyarakat agar menolak fahaman seperti takfiri yang dibimbangi boleh mengancam keamanan dan kestabilan negara.

Menurutnya, peringatan itu dibuat ekoran terdapat kecenderungan pemimpin pembangkang tertentu yang melabel orang Islam lain yang tidak sehaluan ideologi politik sebagai kafir atau musuh Islam.

Source: https://www.sinarharian.com.my/article/265686/suara-sinar/analisis-sinar/kontroversi-sentimen-agama-dimainkan-menjelang-prn

Category
Pemburu Kebenaran