JDT Fans Token hargai penyokong JDT

JOHOR BAHRU: Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim (JDT) melancarkan JDT Fans Token sebagai menghargai penyokong kelab berkenaan dan membawa mereka lebih dekat dengan berkongsi pandangan penyokong dalam perkara yang akan dilakukan di masa depan.

Ketua Unit Komersil JDT, Kevin Ramalingam berkata, menerusi pemilikan token berkenaan, penyokong JDT dapat menyuarakan pendapat mereka menerusi undian yang akan dibuat menerusi platform Socios.com.

Beliau berkata, ini adalah cetusan idea Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim selaku pemilik kelab yang sudah menjangkau usia 10 tahun dan terus berkembang sehingga ke peringkat antarabangsa.

"Menerusi pemilikan token ini, penyokong dapat membuat undian nama yang akan tertera di belakang jersi pemain sebagai contoh Arif Aiman Hanapi di mana menerusi undian penyokong memilih nama yang tertera di belakang pemain sayap JDT itu adalah `Arif' selain undian untuk pemain itu melakukan `celebration' jika menjaringkan gol.

"Mungkin selepas ini, kita akan mẹmbuat undian apa nombor jersi yang akan dipakai Arif Aiman dan sebagainya. Perkara ini yang akan mendekatkan penyokong dengan kelab, mereka ada kuasa memutuskan perkara ini dan merasakan mereka sebahagian penting kepada JDT," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran JDT Fans Token di pusat beli belah Toppen, di sini, malam tadi.

Menurut Kevin, token berkenaan boleh dimiliki dengan harga serendah 1USD (RM4.67) bagi setiap satu yang boleh dipindah milik dan nilainya mungkin akan meningkat di masa akan datang.

Katanya, ini adalah cara JDT menghargai penyokong kelab dengan mengambil bahagian dalam keputusan yang diambil selain menerima keistimewaan lain yang ditawarkan dari semasa ke semasa.

Tambahnya, JDT adalah kelab pertama dalam negara yang menggunakan Fans Token ini yang turut diguna pakai oleh kelab tersohor di Eropah seperti AC Milan, Paris Saint Germain (PSG), Arsenal, Juventus dan lain-lain.

source: https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2023/07/1122997/jdt-fans-token-hargai-penyokong-jdt

Category
Pemburu Kebenaran