'Kalau sentuh 3R melampau, habis tu nak buang mana Rukun Negara?' - Sanusi

ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menempelak Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, susulan arahan supaya tidak menyentuh isu sensitif 3R merujuk bangsa, agama dan institusi diraja ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Mengakui tidak bersetuju dengan arahan itu, Muhammad Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) berkata, tiga perkara tidak seharusnya ditinggalkan berikutan ia sudah termaktub dalam Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutuan.

"Kalau sentuh 3R adalah tindakan melampau, habis tu nak buang mana Rukun Negara?

"Rukun Negara merangkumi semua perkara termasuk institusi diraja dan agama. Dalam Perlembagaan jelas menyatakan bahawa Islam adalah agama rasmi negara. Adakah kita kena buang (Rukun Negara selepas Menteri Dalam Negeri keluar arahan jangan sentuh isu 3R)?" katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Rasmi Kenderaan Menteri Besar dan EXCO kerajaan negeri berikutan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah dibubarkan hari ini.

Sebelum ini media melaporkan Saifuddin memberi peringatan kepada parti politik yang terbabit dalam PRN supaya tidak menyentuh isu sensitif membabitkan 3R berkenaan.

Beliau yang juga Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH) berkata, jika perkara sedemikian berlaku menjelang PRN tidak lama lagi, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil tindakan undang-undang dan boleh disiasat di bawah Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata Rukun Negara ditubuhkan sebagai tindak balas kepada rusuhan kaum pada 13 Mei 1969 bagi menjadi rujukan semua rakyat Malaysia.

"Kegagalan untuk menyemai semangat nasionalisme telah membawa kepada tragedi 13 Mei, justeru Rukun Negara diwujudkan sebagai titik rujukan tentang apa yang membentuk negara.

"Cakap pasal agama, bangsa, raja semua tak boleh, padahal itu semua dalam rukun negara. Jadi hangpa buang Rukun Negara...orang lain buat semua salah, hangpa buat tak apa, rujuk sahaja Rukun Negara, itu jawapan saya," katanya.

Source: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/06/1120084/kalau-sentuh-3r-melampau-habis-tu-nak-buang-mana-rukun-negara-sanusi

Category
Pemburu Kebenaran