MoU

Pemeteraian memorandum persefahaman MoU Transformasi dan Kestabilan Politik di antara kerajaan dan pihak pembangkang menandakan satu kerjasama yang sejajar dengan titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shahuntuk mengutamakan kebajikan rakyat. Kesediaan dua belah pihak wajar diraikan rakyat kerana urus tadbir negara ketika pandemik Covid-19 telah terhalang akibat kemelut politik selepas mandat Kerajaan Pakatan Harapan dirampas.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob menunjukkan iltizam dalam merealisasikan semangat Keluarga Malaysia dengan mengetepikan slogan ‘No Anwar No Dap’ apabila bersetuju untuk mencari titik persamaan yang terbaik bagi menangani krisis pandemik Covid-19, menjaga nyawa dan keselamatan diri daripada ancaman wabak dan membebaskan rakyat daripada cengkaman ekonomi berikutan kehilangan pekerjaan dan pendapatan. 

Apa yang boleh dilihat dari peristiwa bersejarah ini adalah pengiktirafan kepada blok pembangkang yang diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membantu mencorak hala tuju transformasi dan pembaharuan dalam tatakelola pentadbiran kerajaan khususnya memperkasakan peranan institusi Parlimen. 

Secara langsung menyisihkan parti pembangkang yang tidak menyertai Pakatan Harapan kerana Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Mukhriz Mahathir mengesahkan mahu mempertahankan hak mereka sebagai blok ketiga. Namun Ketua Pemuda Warisan Azis Jammam merasakan mereka hanya terlibat di dalam taklimat setelah persetujuan dengan kerajaan untuk MoU telah dibuat. Perkembangan ini menggambarkan bahawa kerajaan hanya berhasrat untuk berunding dengan blok pembangkang yang besar iaitu Pakatan Harapan. 

Tidak mustahil jika ini dilihat sebagai usaha memecahbelahkan pembangkang oleh kerajaan kerana beberapa agenda yang ditetapkan dalam MoU juga dilihat mustahil untuk dilaksanakan apabila melihat perkembangan lain seperti pelantikan Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara dan ura-ura bahawa Najib Razak bakal menjadi penasihat ekonomi.

Pada masa ini rakyat hanya dapat menilai bahawa usaha reformasi diletakkan semula kepada Anwar yang dilihat sebagai harapan terakhir sehingga Pilihanraya Umum kelak mengikut kenyataan Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan Fahmi Fadzil di mana Parlimen tidak akan dibubarkan sehingga 31 Julai tahun hadapan.

 

Masih tidak jelas di mana kedudukan Tun Dr Mahathir di dalam perkembangan ini, namun memberikan gambaran bahawa rakyat kini bergantung kepada reformasi yang dibawa oleh Ketua Pembangkang setelah gagal melihat sebarang usaha oleh kerajaan PH yang diketuai Mahathir sebelum ini.

Category
Curated news from the internet and individual contributors and groups.